...السلام عليكم و
رحمة الله
Fadhilat Bulan
Syaaban
Syaaban membawa
maksud berpecah-pecah. Ada yang berpendapat, ini kerana pada ketika itu, bangsa
Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di
padang pasir. Ada pula yang berpendapat ia membawa maksud pemisah kerana
Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w
telah bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu
sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah
dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan
itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul
Ulama).
Bulan Syaaban
merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian
ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk
meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk
memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa
untuk menerangkan hati dan jiwa.
Rasulullah s.a.w
pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan
Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas
semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua
bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”
Nisfu Syaaban
Di dalam bulan
Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban.
Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab.
Rasulullah s.a.w
telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang
menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka
hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”
Umat Islam
disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3
kali selepas solat maghrib.
Bacaan pertama
diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca
doa-doanya.
Bacaan kali keduanya
dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya,
kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
Kemudian bacaan
ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian
dibacakan doa-doanya.
Namun jangan lupa
agar kita membaca dengan penuh tenang dan tidak terkejar-kejar.
Pada malam Nisfu
Syaaban, telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:
“Angkat kepalamu
kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan
diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya
sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka
terhadap ibubapa.” (Al-Hadis)
Puasa Sunat di bulan Syaaban
Pada bulan ini,
digalakkan bagi kita untuk memperbanyak Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri
lebih gemar berpuasa sunat pada bulan Syaaban.
Rasulullah s.a.w
bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang
berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada
akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh
puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada
tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
Sabda Rasullullah
s.a.w yang bermaksud:
“Dinamakan Syaaban
kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal
sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)
Satu hari berpuasa
di bulan Syaaban akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi
taulan nabi Yusof di dalam syurga, dan diberi pahala seperti pahala nabi Ayub
dan Nabi Daud.
Sesiapa yang
berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut,
dilepaskan kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan
Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.
Sesiapa yang
berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis di dalam Syaaban,
dimasukkannya dalam syurga. (Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab
al-Barokah)
Doa, Zikir & Selawat ke atas Rasulullah s.a.w
Bulan ini juga kita
digalakkan untuk membanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah
s.a.w.
Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang
mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan
diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan
menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.”
(Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
Bertaubat
Sangat digalakkan
untuk mempernyak bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari
segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan
jiwa kita.
Diriwayatkan dari Umamah
Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang
maksudnya:
“Manakala masuk
bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah
bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan
(menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani)
(Al-Hadis)
sumber: biro agama WP
Nota hati: Respect is earned, Honesty is appreciated, Love is gained and Loyalty is
returned.
No comments:
Post a Comment