SENTIASA BERSANGKA BAIK DAN
MENJAUHI BURUK SANGKA
Sifat muslim sejati ialah dia tidak berburuk
sangka kepada orang lain atau membenarkan dirinya berkhayal dengan menuduh
orang yang tidak bersalah tetapi hendaklah sentiasa bersangka baik. Firman
Allah s.w.t ;
"Hai orang-orang yang
beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka
itu adalah dosa" (Al-Hujurat 49:12)
Rasulullah s.a.w
memperingatkan agar tidak berburuk sangka dan membuat spekulasi yang tidak
berasas sama sekali. Baginda bersabda :
"Hati-hatilah dengan
buruk sangka, kerana buruk sangka itu adalah ucapan bohong." (Bukhari dan
Muslim)
Rasulullah s.a.w menganggap
buruk sangka sebagai ucapan bohong. Muslim sejati pasti tidak akan membenarkan
kalimat pembohongan seperti itu terucap di lidahnya. Apabila Rasulullah s.a.w
memperingatkan kaum muslimin terhadap perbuatan buruk sangka dan menganggapnya
ucapan bohong, maka baginda mengarahkan kaum muslimin agar menghormati orang
lain, dan menjauhi diri dari membuat spekulasi ke atas diri mereka atau meragui
mereka. Itu bukanlah sikap seorang muslim, bukan pula urusannya . Hanya Allah
yang mengetahui hati hamba-hambaNya, dan hanya Dialah yang berhak membuka atau
membalasnya kerana hanya Dia yang tahu segala rahsia mereka yang tersembunyi.
Abdul Razak meriwayatkan dari
Abdullah bin Utbah bin Mas'ud, katanya : Aku mendengar Umar bin Khattab r.a
berkata :
" Orang-orang yang selalu
mendengar wahyu diturunkan di zaman Nabi, tetapi kini wahyu telah berhenti.
Maka sekarang kami memandang manusia menurut pandangan kasar. Jika seseorang
itu berbuat baik kepada kami, maka kami mempercayainya dan membuat hubungan
yang rapat dengannya atas dasar apa yang telah kami lihat dari amal
perbuatannya. Kami tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, dan hanya Allah
yang layak menghukumnya. Tetapi jika seseorang berbuat buruk kepada kami, kami
tidak mempercayainya meskipun dalam hati mereka ada kebaikan ." (Hayatus
Sahabah, 2/151 )
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan
hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya." (Al-Isra' 17:36)
Rasulullah s.a.w bersabda :
"Seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang
diredhai Allah dan dia tidak sedar akibatnya, kerana boleh jadi Allah
meredhainya kerana hal itu sehingga pada hari dia bertemu denganNya. Begitu
juga, seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah, dan tidak
sedar akibatnya, kerana boleh jadi Allah memurkainya kerana hal itu sehingga
hari kiamat ." (Riwayat Imam Malik )
Muslim yang benar yang suci hatinya tidak akan
mendengar ucapan kosong orang lain, atau memperhatikan khabar angin dan
spekulasi yang tersebar di tengah masyarakat kini. Dia tidak pernah membenarkan khabar angin itu tanpa mempastikan
kebenarannya terlebih dahulu. Dia yakin bahawa percaya bulat-bulat akan
spekulasi dan khabar angin itu sangat dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Sentiasa bersangka baiklah dan menjauhi buruk sangka.
KREDIT KEPADA BIRO AGAMA WP
nota hati: semoga hati ini mampu utk sentiasa bersangka baik.....