Mengapa Mesti Bersangka Baik
Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. Kita
mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil
kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki
'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga
seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. Kita mesti
sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang
mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam
sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin
tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam
memberi.
Tiga. Kita
mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai
hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. Kita
mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang
berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk
menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa.
Enam. Kita
mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala
isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh
membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!
"Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan
dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang
tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh,
mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya.
Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia
terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau
call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai
sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas
tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu
fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman
lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi
tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan
kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang
mesti saling menasihati dan mengingatkan."
Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang
lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan
alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.
Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah
jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di
muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan
rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil
memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.
Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang
tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih
baik.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata
akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada
Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya.
Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia
memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
1 comment:
errrr hari ni baru hari selasa kot?
Post a Comment