Pages

Friday, March 15, 2013

tazkirah di pagi Jumaat 15032013




SENTIASA BERSANGKA BAIK DAN MENJAUHI BURUK SANGKA

Sifat muslim sejati ialah dia tidak berburuk sangka kepada orang lain atau membenarkan dirinya berkhayal dengan menuduh orang yang tidak bersalah tetapi hendaklah sentiasa bersangka baik. Firman Allah s.w.t ;

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa" (Al-Hujurat 49:12)

Rasulullah s.a.w memperingatkan agar tidak berburuk sangka dan membuat spekulasi yang tidak berasas sama sekali. Baginda bersabda :

"Hati-hatilah dengan buruk sangka, kerana buruk sangka itu adalah ucapan bohong." (Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w menganggap buruk sangka sebagai ucapan bohong. Muslim sejati pasti tidak akan membenarkan kalimat pembohongan seperti itu terucap di lidahnya. Apabila Rasulullah s.a.w memperingatkan kaum muslimin terhadap perbuatan buruk sangka dan menganggapnya ucapan bohong, maka baginda mengarahkan kaum muslimin agar menghormati orang lain, dan menjauhi diri dari membuat spekulasi ke atas diri mereka atau meragui mereka. Itu bukanlah sikap seorang muslim, bukan pula urusannya . Hanya Allah yang mengetahui hati hamba-hambaNya, dan hanya Dialah yang berhak membuka atau membalasnya kerana hanya Dia yang tahu segala rahsia mereka yang tersembunyi.

Abdul Razak meriwayatkan dari Abdullah bin Utbah bin Mas'ud, katanya : Aku mendengar Umar bin Khattab r.a berkata :

" Orang-orang yang selalu mendengar wahyu diturunkan di zaman Nabi, tetapi kini wahyu telah berhenti. Maka sekarang kami memandang manusia menurut pandangan kasar. Jika seseorang itu berbuat baik kepada kami, maka kami mempercayainya dan membuat hubungan yang rapat dengannya atas dasar apa yang telah kami lihat dari amal perbuatannya. Kami tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, dan hanya Allah yang layak menghukumnya. Tetapi jika seseorang berbuat buruk kepada kami, kami tidak mempercayainya meskipun dalam hati mereka ada kebaikan ." (Hayatus Sahabah, 2/151 )
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya." (Al-Isra' 17:36)

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang diredhai Allah dan dia tidak sedar akibatnya, kerana boleh jadi Allah meredhainya kerana hal itu sehingga pada hari dia bertemu denganNya. Begitu juga, seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah, dan tidak sedar akibatnya, kerana boleh jadi Allah memurkainya kerana hal itu sehingga hari kiamat ."  (Riwayat Imam Malik )

Muslim yang benar yang suci hatinya tidak akan mendengar ucapan kosong orang lain, atau memperhatikan khabar angin dan spekulasi yang tersebar di tengah masyarakat kini. Dia tidak pernah membenarkan khabar angin itu tanpa mempastikan kebenarannya terlebih dahulu. Dia yakin bahawa percaya bulat-bulat akan spekulasi dan khabar angin itu sangat dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Sentiasa bersangka baiklah dan menjauhi buruk sangka.
 

KREDIT KEPADA BIRO AGAMA WP


nota hati:  semoga hati ini mampu utk sentiasa bersangka baik.....


 


No comments: